Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polisi "impulsif" dan "pencipta-krisis" Arab Saudi mengancam keamanan dan kestabilan Timur Tengah, kata Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani yang turut menambah dengan mengatakan bahawa Riyadh memiliki kecederungan untuk mencipta krisis baharu dalam rangka menutup krisis lama.
"Saya lahir di rantau yang penuh dengan ektremisme," kata Thani di dalam sebuah persidangan anti keganasan di London pada hari Khamis. "Walaupun Timur Tengah pernah menjadi rantau yang aman dan kawasan di mana setiap pihak mampu hidup bersama-sama, malangnya pada waktu ini, rantau itu telah bertukar kepada rantau yang dipenuhi pengganas dan para autoritarian di mana ekstremisme terus berkembang."
Sambil mengecam polisi serantau Arab Saudi, beliau turut menyatakan bahawa punca kepada keganasan di rantau itu adalah "kezaliman, autoritarianisme dan ketiadaan keadilan."
Menteri Luar Qatar turut memberitahu para wartawan bahawa Arab Saudi secara mutlak bertanggungjawab ke atas tragedi kemanusiaan yang telah mengakibatkan ribuan warga Yaman kehilangan nyawa mereka. Menurut beliau, Riyadh juga bertanggungjawab ke atas kemusnahan infrastruktur negara Yaman sejak mereka memulakan operasi ketetenteraan mereka ke atas negara itu.
"Proses politik kini terhenti dan kita melihat bahawa situasi kini bertambah buruk," kata beliau lagi berhubung konflik di Yaman.
Beliau turut menuduh Riyadh sebagai cuba "untuk menekan" Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri untuk meletakkan jawatannya ketika berada di Arab Saudi. Perdana Menteri itu kemudiannya menarik balik pengumuman sebelumnya selepas kembali ke Lubnan.
"Natija kepada kesemua polisi ini... negatif," kata Thani kepada pemberita.
Akhirnya, Menteri Luar Qatar itu turut meletakkan tanggungjawab ke atas Arab Saudi berhubung pertelagahan di antara Qatar dan pakatan yang diketuai Riyadh. Arab Saudi mengetuai negara-negara Arab termasuk UAE, Libya, Bahrain dan Mesir di dalam mewujudkan sekatan ke atas Qatar.
"Mana satu polisi mereka yang setakat ini telah menghasilkan natijah yang positif? Kesemuanya bahkan bersifat kounter-produktif kepada kestabilan serantau," kata Thani lagi. -ABNA24
/315
24 November 2017 - 05:03
News ID: 868737
Polisi "impulsif" dan "pencipta-krisis" Arab Saudi mengancam keamanan dan kestabilan Timur Tengah, kata Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani yang turut menambah dengan mengatakan bahawa Riyadh memiliki kecederungan untuk mencipta krisis baharu dalam rangka menutup krisis lama.